Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi |
PUTRAJAYA - Selagi pertemuan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan penyokongnya pada malam Isnin bersifat 'mesra' ia ok, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu mengakui Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno mempunyai hak untuk menganjurkan acara tersebut dan berucap di hadapan penyokongnya.
Namun, Dr Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berharap tidak akan ada adegan saling menghentam dalam perhimpunan yang bakal berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur, malam Isnin.
"Pertemuan seperti itu dibenarkan dalam undang-undang. Namun di dalam Umno, ia mungkin tidak beretika untuk mengadakan mesyuarat di luar parti.
"Namun, saya faham beliau (Muhyiddin) mahu platform alternatif untuk menyatakan pandangan beliau.
"Saya berharap pertemuan itu diadakan dalam semangat 'silaturrahim' dan tidak digunakan sebagai platform untuk menghentam individu lain, sehingga ke tahap boleh menjejaskan landskap politik di negara ini," kata Dr Ahmad Zahid kepada pemberita di pejabatnya di sini Isnin.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kehakiman Australia, Michael Keenan.
Muhyiddin yang dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Julai lalu dijangka berucap di hadapan penyokongnya pada malam Isnin, menjelang kemuncak Perhimpunan Agung Umno (PAU).
Muhyiddin dikatakan kecewa kerana tidak dibenarkan untuk menyampaikan ucapan perasmian tiga sayap parti seperti kebiasaannya.
Timbalan Presiden kebiasaannya akan menyampaikan ucapan dasar pada perasmian tiga sayap parti dan juga ucapan penggulungan di akhir perhimpunan.