Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir |
Tersebar desas-desus yang mengatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir terlibat sebahagian dari kumpulan '5M' yang konon bakal ditubuhkan bagi merebut jawatan utama di dalam UMNO pada pemilihan parti itu yang akan datang.
Memetik laporan dari sebuah portal, kumpulan berkenaan dikatakan akan diketuai oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan 'memberontak' setelah digugurkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Menurut sumber berkenaan, Muhyiddin bakal mencabar kedudukan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi jawatan Presiden UMNO, manakala Mukhriz pula dikatakan akan merebut jawatan Timbalan Presiden parti berkenaan.
Selain Muhyiddin dan Mukhriz, turut tersenarai di dalam kumpulan itu adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang didakwa mensasarkan jawatan Naib Presiden.
Sementara itu, dikatakan juga bahawa kumpula 5M tersebut mendapat restu dan sokongan kuat dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta kumpulan profesional G25 yang sebelum ini 'konsisten' menyerang kerajaan secara terbuka.
Desas-desus politik mendakwa bahawa gerakan tersebut adalah bertujuan menjatuhkan kepimpinan Mohd Najib sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebelum ini.
G25 sebelum ini juga pernah mendakwa Tun Dr Mahathir mengajak mereka untuk sama-sama membentuk gerakan menjatuhkan Mohd Najib, namun permintaan tersebut telah ditolak atas alasan enggan dilihat berpihak.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tentang desas-desus yang dilaporkan oleh portal berkenaan dan ia dikatakan hanya merupakan 'cakap-cakap politik' ekoran keadaan dalam UMNO yang dilanda masalah dalaman di saat ini.
Pertanyaan yang kami kemukakan kepada Mukhriz menerusi aplikasi Whatsapp sejak dakwaan tersebut tercetus juga masih belum terjawab hingga artikel ini disiarkan. -Kedahnews.com