Mukhriz Tegaskan TIDAK TERLIBAT Dalam Kumpulan "5M"

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir
KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir menafikan beliau terlibat dalam kumpulan digelar ‘Team 5M’ yang dikatakan akan bertanding dalam pemilihan UMNO 2018.

Mukhriz, yang juga Menteri Besar Kedah, berkata kumpulan seumpama itu tidak pernah wujud dan beliau sendiri tidak menolak kemungkinan ia agenda pihak tertentu yang ingin memecahbelahkan UMNO.

“Saya ada baca (mengenai ‘Team 5M’) dan terkejut dengan kenyataan tersebut. Sebenarnya ia tidak wujud pun. Saya tidak tahu dari mana datangnya (laporan)…

“Maka boleh saya nyatakan bahawa saya bukan sebahagian daripadanya (‘Team 5M’),” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Baru-baru ini sebuah blog pro-UMNO melaporkan wujud ‘Team 5M’ yang akan bertanding dalam pemilihan UMNO 2018 dengan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding jawatan Presiden UMNO.

Laporan yang memetik ‘sumber dalaman’ itu menyebut Mukhriz akan bertanding jawatan Timbalan Presiden manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bertanding jawatan Naib Presiden.

Pada Isnin, Mohamed Khaled telah menafikan bahawa beliau turut terlibat dalam kumpulan ‘Team 5M’ seperti yang didakwa portal berkenaan. – BERNAMA