"Mungkin Ada Yang Meluat Kot Bila Saya Buat MUAAAAHHH..." - Datuk Seri Vida

Datuk Seri Vida
Siapa yang tidak kenal dengan pengasas kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida yang sangat popular dengan tagline “Qu Putih..Qu Putih.. barulah putih!!! Muaaahh”.

Walaupun slogan tersebut kedengaran lucu, namun ternyata percaturannya itu membuatkan hasil sehinggakan jenama produknya sering menjadi sebutan ramai.

Pun begitu, pada masa sama terdapat suara-suara sumbang mengkritik dan memperlekehkan idea tagline tersebut.

Mengulas mengenai perkara itu, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr. Hasmizah Othman berkata, dia tidak berkecil hati mahupun terasa apabila tagline Qu Puteh itu dicerca sesetengah pihak.

“Mungkin ada yang meluat kot apabila saya buat “muaaah” tapi saya buat sebegitu kerana saya pakai gincu. Jadi aksi itu adalah normal buat diri saya. Sesetengah orang mungkin suka atau pun tak.

“Itu semua hak mereka untuk menilai, yang penting kita tahu apa yang kita buat untuk mencapai target dalam hidup masing-masing,” katanya yang dipetik dari sebuah portal hiburan terkenal.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana produknya semakin dikenali dan pendapatan meningkat setelah pembabitannya dalam Gegar Vaganza 2.

“Kini keputusan menjadi penaja untuk acara hiburan nyata berkesan walaupun ada segelintir pihak pada mulanya sangsi dengan keputusan saya.

“Menjadi penaja untuk GV2 amat berbaloi kerana pada masa yang sama program ini telah menjadi platform hubungan kekeluargaan yang menonton bersama-sama.

“Jadi, pelaburan saya ini umpama serampang dua mata. Pelbagai kebaikan telah diperolehi oleh semua pihak tidak kira penonton, barisan penyanyi serta tenaga produksi yang berhempas pulas menjayakannya,” kata Datuk Seri Vida. -Kedahnews.com