Munzir Dianugerah Pingat Hang Tuah, Selamatkan Adik Dalam Kebakaran


ALOR SETAR - Keberanaian seorang abang menyelamatkan adiknya berusia 10 tahun yang terperangkap dalam kebakaran di Sekolah Menengah Agama Raudhatut Tahfiz (Smart) dekat Kilometer 2 Jalan Gunung Jerai pada 29 Julai lalu mendapat perhatian ramai.

Munzir Shaharuddin, 15, diberi penganugerahan Pingat Hang Tuah sebagai menghargai keberaniannya sempena sambutan hari warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) peringkat negeri kelmarin.

Menceritakan semula kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Munzir berkata, semua pelajar sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan pelajar lain yang memaklumkan asrama mereka terbakar.

“Semua pelajar terus lari menyelamatkan diri, namun saya berpatah balik selepas mendengar jeritan adik yang meminta tolong.

“Tanpa memikirkan keselamatan diri, saya terus masuk ke asrama itu untuk menyelamatkan adik yang terperangkap  dalam kelambu yang sedang terbakar,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan adiknya melecur pada kepala, belakang badan hingga pinggang serta kedua-dua belah tangan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sekolah yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (Jaik) itu terbakar dengan tiga pelajarnya melecur.

Mereka yang cedera dibawa menerima rawatan awal di Hospital Yan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk rawatan lanjut.

Asrama yang menempatkan 44 pelajar lelaki itu merupakan bangunan sementara sebelum bangunan kekal yang dirancang pihak pengurusan disiapkan.

Sekolah agama itu mempunyai 80 pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun dengan 44 pelajarnya menetap di asrama.

Sumber: Sinar Harian