Muslimat PAS Beri Pandangan Tentang Isu Penggunaan VAPE


KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyifatkan dakwaan segelintir pihak kononnya menghisap vape mampu menghentikan tabiat merokok satu fakta yang dangkal.

Ketua Penerangannya Wan Hasrina Wan Hassan berkata, golongan itu menyatakan demikian walaupun tanpa kajian sahih bagi ‘menghalalkan’ tabiat baharu tersebut dalam kalangan masyarakat.

Lebih teruk, katanya, vape bukan sahaja diminati perokok tegar malah menular dalam kalangan remaja sekolah dan wanita muslim yang tanpa segan silu menunjukkan kepakaran menikmati vape pada khalayak ramai.

“Benar, bahan berbahaya dalam vape kurang berbanding rokok. Lalu,apa yang bahayanya tentang e rokok ini sehingga menarik perhatian Majlis Fatwa Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, para doktor yang tampil memberi pandangan dan menteri Kabinet sendiri.

“Bahayanya vape ini terletak kepada kandungan nikotin di dalamnya. Dengan hanya mengambil 60mg nikotin boleh membawa maut kepada seorang dewasa bukan perokok. 120mg nikotin pula boleh membunuh seorang perokok dewasa,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Justeru, Wan Hasrina memuji langkah bijak Kementerian Kesihatan menguatkuasakan penjualan cecair nikotin di bawah Akta Racun 1952,Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Dadah dan Kosmetik 1984 di mana penjualan cecair itu hanya boleh dibuat oleh ahli farmasi dan pengamal perubatan berdaftar sahaja.

Katanya, tindakan pantas Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan vape pula amat bertepatan kerana berdasarkan tiga faktor utama iaitu membahayakan kesihatan, membazir wang dan memudaratkan diri.

“Meletakkan keutamaan menangani isu ini bagi kemaslahatan ummah amat penting walaupun terpaksa menghadapi kecaman pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tindakan-tindakan itu,” katanya.

Wan Hasrina turut melahirkan kebimbangan pelajar sekolah bebas membeli vape kerana harganya yang rendah manakala golongan guru dan ibu bapa sukar mengenal pasti kegiatan itu dalam kalangan anak-anak mereka kerana baunya tidak sekuat bau asap rokok.

“Malah terdapat vape yang mana reka bentuknya dicipta seperti bentuk sebatang pen.Jika sekilas pandang, agak sukar mengenal pasti antara vape dan sebatang pen biasa,” katanya. – Kedahnews.com