MyVi Ditawar Kepada Pemenang Pertandingan Namakan Anak Panda


PUTRAJAYA - Hadiah berupa kereta Perodua Myvi bakal menjadi milik pemenang utama bagi pertandingan Menamakan Anak Giant Panda yang sedang berlangsung sejak 17 November 2015.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain hadiah utama, dua buah motosikal iaitu motosikal Demak Rino dan Demak DJ 90 juga disediakan sebagai hadiah saguhati kepada pemenang yang berjaya memberi nama yang memenuhi syarat-syarat pertandingan tersebut.

Sehingga ke hari ini, sebanyak 960 penyertaan telah diterima oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bagi Pertandingan Menamakan Anak Giant Panda yang diadakan bersempena dengan kelahiran anak giant panda di Zoo Negara pada 18 Ogos 2015 yang lalu.

Wan Junaidi berkata, jumlah penyertaan menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia berminat menyertai pertandingan nasional tersebut di samping menjayakan aspirasi kerajaan dalam melestarikan pengurusan biodiversiti di negara ini.

“Kita juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penaja hadiah-hadiah utama iaitu Sarawak Cable dan Demak Motor kerana bermurah hati menaja hadiah sebagai sokongan terhadap pertandingan ini,” katanya.

Junaidi berkata demikian dalam satu sidang akhbar mengenai Pengumuman Hadiah Pertandingan Menamakan Anak Giant Panda yang diadakan di Pejabat NRE di sini pagi tadi.

Panda betina, Liang-Liang telah melahirkan anak yang menjadikan Malaysia negara pertama di dunia berjaya melahirkan anak panda Giant secara semulajadi dalam kurungan hanya dalam tempoh 15 bulan ianya dipinjam daripada Republik Rakyat China.

Setelah hampir tiga bulan dikuarantin, anak panda tersebut telah mula dipamerkan kepada pengunjung Zoo Negara pada 17 November 2015.

Pertandingan Menamakan Anak Giant Panda merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mempromosi aktiviti konservasi hidupan liar di samping menarik minat masyarakat di negara ini agar mencintai hidupan liar.

Melalui usaha ini juga, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan ke atas Giant Panda selain meningkatkan kepakaran tempatan melalui pemindahan teknologi yang disalurkan oleh Republik Rakyat China (RRC) terutama dalam pembiakan ‘artificial’, kajian genetik dan kajian habitat Giant Panda.

Pertandingan Menamakan Anak Giant Panda akan berlangsung sehingga 17 Disember 2015. Keterangan lanjut mengenai pertandingan boleh didapati dengan melayari portal rasmi Kementerian, http://www.nre.gov.my/sites/pandamalaysia . – Kedahnews.com