Naluri Balas Dendam Anjing Liar Jadikan Kereta Sebagai Mangsa


SHIJIAZHUANG – Sekumpulan anjing liar dilapor telah bertindak membalas dendam dengan merosakkan kereta milik seorang lelaki yang menghalau haiwan itu dari tempat letak keretanya.

Kejadian berlaku di sebuah apartmen di sini apabila lelaki itu berang selepas mendapati ada sekumpulan anjing liar tidur di tempat letak keretanya.

Lelaki tersebut kemudian dilaporkan telah bertindak menendang dan menghalau anjing-anjing itu dari tempat letak keretanya.

Selepas meletakkan keretanya di tempat parkir berkenaan, lelaki itu dikatakan terus masuk ke dalam apartmennya.

Bagaimanapun, anjing liar yang dihalau lelaki itu kembali ke tempat letak kereta tersebut dan bertindak ganas merosakkan kenderaan milik lelaki berkenaan.

Aksi kumpulan anjing liar mengerumuni kereta Volkswagen berkenaan berjaya dirakam seorang penduduk.


Dalam rakaman tersebut, seekor anjing dilihat menggigit bahagian badan kereta berkenaan sehingga kemek.

Seekor lagi anjing dilihat mematahkan pengelap cermin dan ada yang mencakar badan kereta itu sehingga calar. – Agensi