Negara China Masih Belum Izin Tayangkan Filem Star Wars


BIARPUN filem terkenal Star Wars: The Force Awakens sudah ditayangkan di kebanyakan negara di seluruh dunia, namun pemerintah China masih belum lagi memberi ‘kebenaran’ untuk menayangkan filem fenomena ini.

Filem ini sebaliknya hanya akan mula ditayangkan di seluruh pawagam China pada 9 Januari 2016.

Pasti ramai tertanya-tanya apakah punca utama yang ‘menyekat’ kepada penayangan filem besar Hollywood seperti Star Wars daripada ditayangkan di sana?

Punca utama kepada ‘penyekatan’ ini adalah berpunca daripada tindakan kerajaan negara tersebut sendiri.

Untuk pengetahuan anda, semua filem dari luar negara yang masuk ke China akan ditapis dan dipilih terlebih dahulu oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab ke atas industri perfileman di sana.

Mereka mempunyai hak untuk memilih dan menetapkan tarikh tayangan sesuatu filem yang dipilih.

Pihak kerajaan China bagaimanapun tidak pernah mengeluarkan sebarang alasan dan sebab munasabah mengapa sesetengah filem sahaja dipilih untuk ditayangkan di sana.

Namun apa yang jelas, mereka mahukan filem tempatan mereka sendiri terlebih dahulu mendominasi carta box office atau pecah panggung negara berkenaan.

Mereka juga percaya, sekiranya filem Star Wars dibawa masuk pada bulan ini, ternyata hasil kutipan bagi filem tempatan akan jatuh merudum, sesuatu perkara yang cuba dielakkan oleh pihak berkuasa di sana.

Justeru, peminat tegar filem terkenal ini di China perlulah bersabar untuk menyaksikan filem hebat ini. Ternyata inisiatif dijalankan oleh pihak kerajaan China merupakan satu inisiatif yang bagus.

Namun jika dilihat dari sudut persaingan, adakah filem tempatan mereka akan mampu pergi jauh sekiranya tiada persaingan secara sihat dari filem-filem luar negara? – CNN