Gambar Hiasan |
SUNGAI PETANI - Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari botnya ketika menangkap ikan di Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, kira-kira 8.30 pagi semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Razmi Abd Rashid berkata, mangsa dikenali Edy Rosmizam Mohamad, 33, berasal dari Kampung Sungai Yu, Kota Kuala Muda.
Beliau berkata, kejadian itu disedari rakan mangsa, seorang nelayan yang berada berdekatan bot mangsa, yang kemudiannya bertindak membuat laporan.
Mohd Razmi berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 8.36 pagi, sebelum jentera pertama tiba di lokasi 20 minit kemudian.
Setakat jam 11 pagi tadi, mangsa belum ditemui dan usaha mencari masih diteruskan, katanya ketika dihubungi Bernama. - Bernama