NGO Gesa Kerajaan Isytihar Kumpulan G25 Sebagai Sesat

Jurucakap Bekas Penjawat Awam (G25), Datuk Noor Farida Ariffin
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meluluskan usul supaya kerajaan mengisytiharkan kumpulan G25 sebagai kumpulan sesat.

Pengerusi Jawatankuasa Usulnya, Hassan Basri berkata, keputusan itu dibuat susulan terlalu banyak penyerapan fahaman sesat liberalisme dan pluralisme yang semakin berleluasa sehingga mengancam akidah umat Islam.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil tindakan kepada mereka yang bertindak melanggar Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Perkasa mengecam keras kebiadaban kumpulan G25 dan mendesak supaya kerajaan bertegas, mengengkang fahaman ini dengan memfatwakan kumpulan G25 sebagai kumpulan sesat.

“Persidangan kali ini turut mendesak kerajaan bertegas dan mengambil tindakan mahkamah untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang ada kepentingan,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan Agung Perkasa ke-6, di sini, semalam.

Semalam, polis dilaporkan akan memanggil Jurucakap Bekas Penjawat Awam (G25), Datuk Noor Farida Ariffin dalam masa terdekat bagi mendapatkan kenyataan berhubung siasatan mengikut Akta Hasutan.

Noor Farida pada sidang medianya awal bulan ini berkata, enakmen kesalahan jenayah syariah yang ‘menceroboh ke dalam kehidupan peribadi rakyat’ harus dikaji semula, manakala serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama perlu dihentikan.

Sumber: Sinar Harian