Nurul Izzah Dakwa Kerajaan Ngeri Halang Haknya Masuk Sarawak


SHAH ALAM - Tindakan Kerajaan Negeri Sarawak yang menghalang Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memasuki negeri itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 67 Akta Imigresen.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menegaskan, akta tersebut tidak boleh menyekat sesiapa untuk memasuki Sabah dan Sarawak bagi tujuan aktiviti politik.

"Tindakan ini walau di bawah bidang kuasa negeri bertentangan dengan hak sah saya berpolitik selaku anggota dewan rakyat.

"Ia merupakan salah guna kuasa pihak berkuasa negeri, (sekatan itu) bukan disasarkan terhadap ahli Parlimen, wakil sah badan perundangan dalam aktiviti politik dan berpersatuan yang sah," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas notis penolakan masuk di bawah Seksyen 65 (1) (a) Akta Imigresen 1959/63 terhadap Naib Presiden PKR itu ke Sarawak, semalam.

Kehadiran Nurul Izzah bertujuan memberi solidariti terhadap pimpinan bersama pimpinan tempatan PKR menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Dalam pada itu, Nurul Izzah juga mendakwa, Akta Imigresen 1959/1963 hanya boleh menyekat penghijrahan beramai-ramai orang Semenanjung ke Sarawak dan Sabah sahaja.

"Saya akan kembali ke Sarawak dan menumpukan segala usaha terhadap merancakkan lagi kebajikan anak-anak Sarawak menerusi pimpinan YB Baru Bian serta wakil-wakil Dun," katanya lagi.