"Ops Catut Back To School" Pantau Harga Barang Keperluan Sekolah

Gambar Hiasan
BANGI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam memulakan ‘Ops Catut Back to School’ bagi memeriksa harga barangan keperluan sekolah, serentak di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayuddin berkata operasi tersebut adalah untuk memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga dan mencatut barangan kelengkapan sekolah.

“Untuk operasi di kawasan Bangi dan Putrajaya sahaja kita telah memeriksa 18 premis menjual barangan kelengkapan sekolah iaitu 16 kedai pakaian sekolah, dan masing-masing satu di pasaraya dan pasaraya besar,” katanya.

“Operasi yang turut dilakukan di seluruh negara ini akan diteruskan sehingga hari pertama persekolahan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.

Katanya, melalui pemerikasaan pada hari pertama, beberapa peniaga di beberapa buah negeri disyaki telah menaikkan harga pakaian seragam sekolah dan kelengkapan sekolah yang lain.

“Kesemua mereka yang terbabit telah diberi notis dan diminta untuk tampil ke pejabat KPDNKK sebelum 11 Jan 2016 untuk mengemukakan alasan kenaikan harga barangan jualan mereka,” katanya. – BERNAMA