Orang Gaji Usia 11 Tahun Dakwa Teruk Didera Bintang Kriket


DHAKA - Seorang kanak-kanak yang bekerja sebagai pembantu rumah mendakwa telah didera oleh majikannya yang juga merupakan seorang bintang sukan kriket Bangladesh, Shahadat Hossain.

Memetik laporan dari CNN, kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Mahfuza Akhter ditemui orang awam ketika sedang berada di tepi jalan di bandar Dhaka sambil menangis dan mempunyai kesan lebam di muka serta tubuhnya.

Mahfuza dalam kenyataannya mendakwa dia sebelum itu bekerja dengan Shahadat dan isterinya, Nritto Shahadat, sebagai pembantu rumah.

"Mereka pukul saya dengan kayu dan peralatan dapur. Mereka juga menumbuk, menampar dan mencakar saya," kata Mahfuza sambil menunjuk bekas parut kesan penderaan kepada media.

Difahamkan bahawa Hossain dan isterinya kini telah ditahan reman oleh pihak berkuasa di negara berkenaan dan dijangka bakal menghadapi tuduhan mendera kanak-kanak serta mengambil pekerja dibawah umur.

Bangladesh sebelum ini sememangnya terkenal dengan amalan buruh kanak-kanak ekoran kesempitan hidup di negara berkenaan meskipun tahu bahawa tindakan tersebut adalah salah dari sudut perundangan.

Dilaporkan jutaan buruh kanak-kanak di negara tersebut dibayar sekitar RM46 bagi khidmat mereka setiap bulan. -Kedahnews.com