Antara penduduk yang menghadapi masalah untuk melintas ke jalan besar dan menggesa kerajaan memasang segera lampu isyarat di kawasan itu. |
KULIM - Kira-kira 3,000 penduduk di Taman Sepilai dan Kampung Padang Cina, di sini menggesa kerajaan memasang lampu isyarat di lokasi terbabit malah permohonan dibuat sejak tujuh tahun lalu.
Ketua Kampung/Komuniti Karangan, M Ramiah berkata, permohonan dibuat sejak 2009 kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Perdana Menteri serta Biro Pengaduan Awam namun tiada tindakan dilakukan.
Menurutnya, ini kerana, setiap hari penduduk bergadai nyawa melintas Jalan Kulim-Mahang, di sini, apabila ingin menghantar anak ke sekolah atau keluar bekerja.
“Sejak 2009 saya sudah hantar surat kepada semua agensi terlibat, dan kali terakhir pada 12 November lalu bagi memohon pemasangan lampu isyarat.
“Sebelum ini kami mohon dua lampu isyarat yang jaraknya agak hampir, memandangkan kos dimaklumkan pihak terbabit lebih RM300,000 kami minta pasang dulu lampu isyarat di laluan utama,” katanya.
Manakala seorang mangsa kemalangan, Ramli Md Saad, 63, berkata, dua tahun lalu dia terlibat dalam kejadian itu ketika mahu keluar ke jalan besar untuk menghantar anaknya ke tempat kerja.
Jelasnya, pada waktu pagi kenderaan yang melalui jalan berselekoh itu akan dipandu laju dan pada hari kejadian dia yang mahu masuk ke jalan utama dilanggar sebuah kenderaan menyebabkannya cedera di kaki dan dada.
“Nasib baik anak saya tak jadi apa-apa. Itu yang kami mahu sangat lampu isyarat dipasang di sini sebab banyak kemalangan berlaku,” katanya.
Malah Penduduk Kampung Padang Cina, Osman Derani, 60, berkata, lebih 20 tahun mereka berdepan dengan keadaan itu, namun kali ini mereka mahu pemasangan kemudahan itu diadakan segera kerana kemalangan semakin kerap berlaku.
“Sejak wujudnya kilang-kilang, bertambahnya kawasan perumahan dan kemudahan lain, lalu lintas di sini memang sibuk, banyak kejadian meragut nyawa berlaku.
“Dulu kami masih boleh bersabar, tapi makin lama makin teruk, kita tak tahu masa depan siapa pula yang akan jadi mangsa, kami mahukan lampu isyarat,” katanya.
Sementara itu, Ketua PKR Cabang Padang Serai, M Karupaiya berkata, pembinaan lampu isyarat di kawasan ini memang diperlukan kerana peratus pengguna jalan itu semakin meningkat.
“Saya lihat sendiri memang penduduk di sini perlukan lampu isyarat, pelbagai jenis kenderaan melalui jalan ini. Tengok waktu petang mereka akan beratur panjang ada yang tak sabar sanggup tanggung risiko untuk melintas.
“Kerajaan perlu ambil tindakan segera, jalan itu adalah kawasan yang berisiko jika ada lampu isyarat kadar kemalangan maut dapat dikurangkan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian