Pandangan Itu Tidak Wakili Majoriti UMNO, Hanya Serpihan

Tan Sri Muhyiddin Yassin
KLANG - Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam Isnin tidak mewakili pandangan majoriti dalam Kabinet dan Umno, kata Datuk Seri Nazri Aziz.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut bersama Muhyiddin dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hanya mewakili serpihan kecil ahli Umno.

"Memandangkan Umno mempunyai tiga juta ahli, 600 individu hanyalah titik kecil di lautan dan tidak perlu dilayan kerana ia hanyalah suara yang amat kecil," katanya.

Nazri berkata tiada keperluan Timbalan Presiden Umno untuk berucap di hadapan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) kerana beliau tidak lagi memegang jawatan dalam Kabinet.

Katanya, walaupun menjadi amalan Timbalan Presiden Umno untuk menyampaikan persoalan yang dibangkitkan dalam perhimpunan berkaitan kementeriannya dalam ucapan perggulungan, Muhyiddin tidak lagi memegang jawatan dalam Kabinet.

"Apa yang dia akan cakap kerana dia sudah tiada lagi jawatan dalam Kabinet?," kata Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Nazri berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi mudah alih Discover Selangor di sini Selasa.

Malah kata Nazri, beliau lebih berhak untuk berucap pada perhimpunan itu berbanding Muhyiddin.

"Jika ada apa-apa yang dibangkitkan mengenai pelancongan, saya akan menjelaskannya (semasa perhimpunan itu)," katanya.

Beliau berkata tiada perkara baharu untuk diperkatakan oleh Muhyiddin.

"Saya fikir jika beliau mahu membincangkan mengenai isu 1MDB, ia sudah dibincangkan secara meluas, bukan sahaja di Malaysia, tapi seluruh dunia tahu mengenainya.

"Jadi apa yang baharu?," soal Nazri.

Nazri turut membidas kenyataan Muhyiddin yang menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berehat sementara menunggu siasatan terhadap 1MDB selesai.

"Saya fikir cadangan beliau (Muhyiddin) bersifat peribadi. Saya fikir perdana menteri tidak perlu berehat tetapi terus bekerja dan menyelesaikan isu tersebut," katanya.

Sumber: mStar