Panglima TLDM Bidas Laman Sosial Konon Kapal Tentera China Ceroboh Malaysia

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menafikan kapal tentera laut China menceroboh perairan Bintulu, Sarawak dan perairan Beting Patinggi Ali (BPA) baru-baru ini.

Panglima TLDM, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, dakwaan yang dihebahkan orang ramai di media sosial itu tidak tepat.

Beliau sebaliknya menjelaskan, kapal tentera China yang dilihat itu cuma sebuah kapal peronda yang berada di luar 12 batu nautika iaitu di luar perairan Malaysia.

“Bagaimanapun, pihak TLDM senantiasa mengawasi gerakan dan kehadiran kapal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Kamarulzaman berkata, sejak 18 November lalu, tiada lagi kapal China bersauh di kawasan perairan BPA.

Katanya, ia hasil persetujuan yang dicapai melalui rundingan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dengan rakan sejawatan dari China.

Panglima TLDM, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin
Tambahnya, ia juga tercapai hasil hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

Sehubungan itu, beliau menegaskan perairan negara khasnya di Laut China Selatan adalah selamat dan terkawal.

Malah, katanya, TLDM menghantar kapal- kapalnya dari semasa ke semasa ke BPA untuk memantau kehadiran mana-mana kapal dari negara asing.

Beliau menjelaskan, terdapat sebahagian dari perairan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) negara ini iaitu sehingga ke 200 batu nautika dari pantai Sarawak dan Sabah meliputi kawasan yang terlibat dalam tuntutan bertindih dengan negara lain termasuk China.

“Perlu dijelaskan kawasan perairan wilayah negara adalah kawasan perairan sehingga ke 12 batu nautika dari pantai. Perairan wilayah negara adalah kawasan yang jika dicerobohi tanpa sebab boleh dianggap mengugat kedaulatan negara,” katanya.

Justeru, Ahmad Kamarulzaman menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya pada kenyataan atau maklumat yang disiarkan dalam media sosial serta blog-blog di internet.

Kata beliau, tindakan memutar belitkan atau menyebar maklumat yang tidak benar melibatkan isu-isu keselamatan dan hubungan antarabangsa boleh mewujudkan persepsi yang salah serta negatif.

“Jangan sebarkan sebarang maklumat dalam media sosial tanpa mendapat pengesahan terlebih dahulu,” katanya. –Kedahnews.com