Pantai Batu Hitam Di Kuantarn Bertukar Jadi Lautan Merah

Air laut bertukar menjadi lautan merah.
KUANTAN - Penduduk yang tinggal di tepi laut dan pengunjung dikejutkan dengan perubahan Pantai Batu Hitam menjadi lautan berwarna merah berikutan hujan lebat pada malam sebelumnya.

Seorang peniaga Anita Awang, 38, berkata air laut bertukar warna merah seperti air keruh sejak awal pagi, menyebabkan ramai pelanggannya merakamkan fenomena luar biasa itu.

"Suami saya menganggap ia hanyalah pergerakan pasir tetapi apabila saya meletakkan tangan saya ke dalam air itu, ia benar-benar berwarna merah, bukan berwarna kelabu dari pasir pantai," katanya.

Wanita kelahiran Kuantan berkenaan berkata ia adalah pertama kali dia melihat fenomena seperti itu.

Malah katanya, warna tersebut menjadi lebih jelas semasa air pasang sekitar pukul 8 pagi.

Peniaga keropok, Esah Awang, 68, berkata Pantai Batu Hitam sering dipenuhi lumpur apabila musim tengkujuh.

"Ya, tetapi pada tahun ini keadaan lebih teruk," katanya yang berpindah ke Beserah sejak 50 tahun lalu.

Beliau turut memberi mengingatkan orang ramai supaya tidak mandi di pantai apabila air bertukar warna untuk mengelak sebarang insiden tidak diingin berlaku.

Tinjauan The Star di sepanjang jalan Beserah-Kuantan mendapati laluan sepanjang tepi pantai turut menampakkan kesan pencemaran.

Sekitar pukul 3 petang, kejadian air pasang surut meninggalkan kesan air berwarna coklat dan berlumpur.

Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar berkata kebanyakan penduduk memuat naik gambar lautan merah dalam laman Facebook kumpulan tersebut, mendorong mereka menyiasat kejadian berkenaan.

"Amaran kita mengenai apa yang akan berlaku benar-benar terjadi," kata Ali yang merujuk kepada bahaya bauksit yang dihanyutkan ke dalam sungai dan longkang semasa musim hujan.

Pencemaran akibat perlombongan bauksit telah merebak ke kawasan Beserah dan diburukkan lagi dengan sebilangan besar lori yang membawa tanah merah ke Pelabuhan Kuantan di Gebeng, kurang 15 kilometer dari Pantai Batu Hitam.

Sumber: mStar