Satu gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter menggegarkan pantai timur negeri ini sekitar pukul 2.47 pagi tadi. - Foto BERNAMA |
TAWAU – Gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter yang melanda Kalimantan, Indonesia pada 2.47 pagi Isnin turut dirasai di beberapa daerah di pantai timur Sabah termasuk Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu.
Menurut portal Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu ialah 3.6 darjah utara dan 117.6 darjah timur, kira-kira 33 kilometer ke utara Tarakan dan 96 kilometer barat daya Tawau.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau, Mohd. Razali Abang Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat kecemasan itu pada 2.51 pagi.
“Sebaik dapat maklumat, anggota kami terus mengadakan pemantauan di sekitar bandar Tawau serta terima laporan mengenai keretakan bangunan (Projek Perumahan Rakyat Sri Apas) Batu 8, Jalan Apas,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, setelah membuat pemeriksaan, anggota bomba mendapati tiada keretakan serius sebaliknya hanya tampalan semen terkupas sedikit pada satu daripada bahagian di bangunan itu.
“Gegaran kuat juga dirasai di kuarters bomba menyebabkan kami terpaksa membunyikan siren kecemasan dan membuat pengumuman supaya semua penghuni mengosongkan bangunan,” katanya.
Seorang suri rumah yang enggan namanya disiarkan berkata ketika kejadian dia baru sahaja mahu melelapkan mata dan gegaran itu menakutkan mereka sekeluarga.
“Ketika berbaring kami merasa seolah-olah dalam perahu dihayun ombak. Barang-barang dalam bilik seperti almari baju serta baju yang tergantung semuanya bergoyang,” katanya.
Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah di Semporna, Nurdin Ajirul pula berkata dia terbangun ketika merasa rumahnya bergoyang.
“Saya ingat anak terlanggar pintu bilik. Saya juga hairan mengapa piring (pinggan) dalam almari berlaga antara satu sama lain dan berbunyi. Anak-anak saya ketakutan,” katanya.
Sementara itu, Mukhtar Alwi yang sedang melawat anggota keluarganya di Sungai Pancang (Pulau Sebatik) Indonesia berkata masyarakat di kampung itu turut menyedari gempa berkenaan.
“Kami rasa seperti menaiki bot yang sedang mengharungi ombak di laut, namun mujur tiada rumah yang rosak akibat gempa itu (di sini),” katanya.
Pada 7 Jun 2013 gempa bumi sederhana berukuran 4.9 pada skala Richter yang berkedudukan 31 kilometer di barat laut Tarakan dan 118 kilometer barat daya Tawau berlaku pada 3.23 pagi. – BERNAMA