Parti Amanah Negara Ajak Muhyidin Sertai Pakatan Harapan

Tan Sri Muhyiddin Yassin
JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mengalu-alukan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai Pakatan Harapan dan sedia menawarkan kedudukan terbaik kepada Bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan turut menzahirkan rasa simpati terhadap pemimpin itu apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan beliau tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap parti berkenaan.

“Tindakan itu membuktikan demokrasi dalam Umno sudah tertutup untuk Tan Sri dan rakan-rakannya.

“Kami mengalu-alukan sekiranya beliau ingin menyertai Pakatan Harapan samada di dalam Amanah atau PKR dan kami sedia menawarkan kedudukan yang terbaik kepada beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, penubuhan empat jawatankuasa parlimen Amanah di negeri ini bakal diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa terdekat antaranya Ledang, Pagoh, Bakri dan Muar.

“Kita mensasarkan penyertaan 500 ahli bagi setiap parlimen sehingga penghujung tahun ini dan setakat ini Parlimen Muar telah mengumpul penyertaan kira-kira 400 ahli.

“Permohonan penubuhan jawatankuasa parlimen ini sudah pun dihantar kepada ROS,” katanya.

Sumber: Sinar Harian