Parti Amanah Tak Mengaku Tolak Hudud, Nafi Jadi Tunggangan DAP

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Hasanuddin Mohd. Yunus
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menafikan parti itu menolak undang-undang hudud walaupun menyertai DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Harapan.

Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd. Yunus mendakwa, terdapat cubaan pihak tertentu untuk memaparkan dalam kalangan masyarakat kononnya parti tersebut menolak hudud.

“Ada pula percubaan untuk paparkan yang Amanah sebagai penolak hudud.

“Sedangkan parti ini terus berusaha gigih berjuang untuk meletakkan Islam yang sarat dengan keadilan, rahmah, kesatuan, kebebasan, keindahan, ketenangan kebahgiaan dan kebajikan di puncak paling tinggi sebagai “ustaziatul alam”,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

DAP pada tahun ini memutuskan kerjasama dengan PAS kerana membantah cadangan PAS mahu melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Situasi itu seterusnya membawa kepada perpecahan Pakatan Rakyat pada Ogos lalu.

Bekas pemimpin PAS pro Pakatan Rakyat kemudian menubuhkan Amanah untuk menyertai PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan.

Hasanuddin dalam pada itu turut menafikan pandangan ramai pihak Amanah sebuah parti politik tunggangan DAP.

Beliau seterusnya menuduh terdapat golongan agamawan dan lebai yang terpedaya dengan strategi halus UMNO mendekati golongan itu sejak kebelakangan ini.

Hasanuddin turut menuduh orang Melayu yang menyokong laungan agenda Melayu adalah Melayu yang cemburu kepada kejayaan kaum lain di negara ini. –Kedahnews.com