PAS Gerakkan Skuad Duat, Mujahid Siber Tangkis Serangan "Cybertroopers"

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan
KUALA LUMPUR – PAS meminta semua ahli dan penyokongnnya supaya bertenang berikutan serangan tentera siber pihak tertentu ke atas parti itu.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, ahli dan penyokong PAS tidak perlu bimbang dan resah dengan situasi berkenaan.

‘Usah bimbang dan resah dengan aksi dan serangan ‘cybertrooper’ musuh-musuh Islam. Hadapi mereka dengan syakhsiyah dan disiplin akhlak Islami,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

PAS difahamkan telah diserang hebat oleh penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) melalui media sosial selepas parti Islam itu disingkirkan daripada gabungan blok parti pembangkang.

Serangan berbentuk propaganda oleh tentera siber Pakatan Harapan itu bertambah meruncing apabila Presiden PAS menyatakan kesediaan menjalin kerjasama dengan UMNO demi perpaduan umat Islam.

Nasrudin berkata, cabaran itu mesti didepani dengan bijak, berani dan optimis menggalas tanggungjawab perjuangan Islam.

Justeru itu katanya, Duat dan Mujahid Siber adalah dua skuad yang dipertanggungjawab PAS untuk menangkis serangan itu.

Menurutnya, peranan Duat Siber menyampaikan risalah dan maklumat perjuangan Islam secara hikmah di alam siber.

Manakala, katanya, Mujahid Siber berperanan menegakkan kebenaran dan kemurnian perjuangan Islam, menjawab segala serangan dengan mujadalah. –Kedahnews.com