"PAS Kurang Sambutan Di Sarawak, Tiada Kerusi Di Sarawak" - Wan Azizah

Wan Azizah bercakap pada sidang media, di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya, semalam. - Foto Sinar Online oleh MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
ALOR SETAR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa PAS merupakan sebuah parti politik yang kurang mendapat sambutan di Sarawak.

Kata Presiden PKR itu, sokongan terhadap PAS di negeri bumi kenyalang itu adalah tidak sama sebagaimana sambutan yang diberikan terhadap parti berkenaan di Semenanjung Malaysia.

"Saya kira PAS di Sarawak kurang (dapat) sambutan, PAS tidak ada kerusi di Sarawak... kita pun tak bincang secara terperinci lagi.

"Sambutan PAS di Sabah dan Sarawak tidak sama seperti di Semenanjung," kata isteri kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu dalam satu sidang akhbar yang dipetik dari Sinar Harian, semalam.

Beliau mengatakan demikian ketika mengulas mengenai pembahagian kerusi di kalangan blok Pakatan Harapan yang terdiri dari PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dijangka berlangsung awal tahun depan.

Jelasnya, Pakatan Harapan masih belum lagi membincangkan tentang pembahagian kerusi tersebut secara terperinci.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, Pakatan Harapan akan mengadakan satu persidangan pimpinan gabungan parti di dalam pakatan baru parti pembangkang itu pada 9 Januari, awal tahun depan.

"Dalam persidangan itu kita akan membincangkan pelbagai isu semasa, masalah 1MDB,isu Anwar," katanya. -Kedahnews.com