Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan |
KUALA LUMPUR - PAS sedia untuk melupakan dan memaafkan kesalahan yang pernah dilakukan UMNO terhadap parti itu sebelum ini, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, itu antara ciri-ciri yang ada dalam perjuangan PAS.
"Ini bukan perkara baru ramai pemimpin lain masuk dalam PAS mereka ada kedudukan baik, mereka diterima dengan hati terbuka itu di kalangan ahli (PAS).
"Sekarang ini antara parti (PAS-UMNO) kita akan laksana perkara sama (memaafkan dan melupakan)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Persidangan Agung Perkasa ke-6, semalam.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu yang PAS dalam proses memberi penjelasan menyeluruh kepada ahlinya mengenai kerjasama itu.
Kehadiran Takiyuddin dan Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali di Persidangan Agung Perkasa menarik perhatian ramai dan menguatkan lagi dakwaan bahawa PAS akan bekerjasama dengan UMNO.
Takiyuddin berkata, kehadiran mereka adalah atas jemputan Perkasa.
Ketika ditanya adakah ahli menerima untuk bekerjasama dengan UMNO, beliau berkata, setiap keputusan yang dibuat PAS adalah secara kolektif bukan hanya atas kepentingan peribadi.
"Boleh lihat benda baru ada suasana faham masing-masing, pokoknya dalam PAS apa yang dibawa oleh presiden bersikap kolektif atas nama parti itu keputusan kolektif," katanya.
Sumber: Sinar Harian