PAS Tetap Bertanding Di Sarawak Walau Diperlekeh PKR

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee
KUALA LUMPUR – PAS mengulangi pendirian parti itu akan tetap bertanding di Sarawak walaupun hasrat berkenaan diperlekehkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, PAS yakin dengan pertolongan Allah S.W.T walaupun Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berpandangan sebaliknya.

“Tuduhan PAS parti eksterim dan tidak sesuai untuk masyarakat Sarawak adalah tuduhan yang tidak benar sama sekali.

“Kita tegaskan sekali lagi PAS akan tetap bertanding (di Sarawak) dan Istiqamah dalam perjuangan hingga mencapai kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Wan Azizah beberapa hari lalu memperlekehkan hasrat PAS bertanding di Sarawak dengan mendakwa parti Islam tersebut tidak mempunyai pengaruh di negeri berkenaan.

Presiden PKR itu turut meminta PAS supaya menyedari bahawa pengaruh PAS di Sabah dan Sarawak tidak sama seperti di Semenanjung Malaysia.

Sebelum ini, rakan politik PKR dalam Pakatan Harapan, Parti Amanah Negara (PAN) mengumumkan parti itu mahu bertanding di Sarawak yang dijangka berlangsung tahun depan.

Hasrat PAN itu disokong oleh DAP yang turut menganggotai Pakatan Harapan.

Jofri dalam pada itu berkata, mana-mana pihak boleh bercakap mengikut suka hati mereka untuk merendah-rendahkan kemampuan PAS di Sarawak.

“Tetapi kita yakin setiap kejayaan bermula dengan kekalahan,” katanya. –Kedahnews.com