PAS & UMNO: Berubah Pendekatan, Kerjasama Tanda Politik Matang - Zuhdi

KUALA LUMPUR – PAS menganggap keterujaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap perubahan pendirian dan tindakan parti itu mutakhir ini sebagai satu isyarat yang baik untuk PAS.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, PAS sebagai sebuah parti yang berdasarkan Islam akan mempertimbangkan sesuatu perkara dengan meletakkan kepentingan negara dan rakyat.

“PAS akan membantah sekiranya keputusan kerajaan merugikan negara dan rakyat dan sebagai altefnatif PAS akan mengemukakan cadangan Islamik.

“Demikian juga, PAS akan menyokong keputusan kerajaan sekiranya membawa kebaikan kepada negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Mohd. Zuhdi berkata, perubahan pendekatan yang diterokai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang satu lambang kematangan politik dan satu anjakan baru ke arah mentaliti politik kelas pertama.

“Yang terkini, kesediaan Presiden PAS untuk berada dalam forum yang sama bersama-sama dengan Perdana Menteri bercakap tentang perpaduan ummah dalam Multaqa Serantau Alumni al-Azhar, merupakan satu lagi petunjuk politik matang yang meletakkan kepentingan ummah dan rakyat Malaysia khususnya sebagai keutamaan,” katanya. –Kedahnews.com