PAU2015: Pemuda UMNO Kedah Bangkit Isu Ancaman Syi'ah - Shaiful Hazizy

Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin
ALOR SETAR -  Ancaman penyebaran ajaran Syiah di negara ini antara isu yang akan dibangkitkan oleh Pemuda UMNO Kedah pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang akan berlangsung  mulai Rabu ini di Kuala Lumpur.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa masjid di Kedah yang digunakan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan ajaran Syiah.

Malah ia turut mengesan gerakan aktif yang menyebarkan ajaran itu di universiti dan institusi pengajian tinggi tempatan, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau mendakwa bagi Kedah, Pendang merupakan pusat bagi penyebaran ajaran Syiah ini dan berharap Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan pihak berkuasa agama tempatan dapat memainkan peranan dalam membanteras penyebaran ajaran itu.

Beliau juga berkata selain itu, isu peningkatan kos sara hidup terutamanya kenaikan tambang pengangkutan awam akan turut dibawa oleh Pemuda UMNO Kedah pada perhimpunan agung sayap itu.

Pihaknya memahami peningkatan kos operasi yang ditanggung oleh pengendali pengangkutan awam tetapi menaikkan tambang sehingga 50 peratus secara mendadak telah membebankan pengguna, katanya.

Beliau berkata tindakan kerajaan mahu rakyat menggunakan pengangkutan awam untuk menampung peningkatan kos sara hidup, dan pada masa yang sama tambangnya pula dinaikkan sehingga 50 peratus, adalah tidak dapat diterima.

Shaiful Hazizy berkata kenaikan tambang pengangkutan awam itu sebaliknya perlu dilakukan secara berperingkat supaya tidak membebankan rakyat.

Beliau berkata pergerakan itu akan turut menyatakan sokongan padu kepada presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menyentuh mengenai perbezaan perhimpunan UMNO kali ini yang mana Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan merasmikan ketiga-tiga sayap pergerakan itu, katanya ianya tidak seharusnya digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menganggu-gugat kestabilan dan perpaduan dalam kalangan anggota UMNO. - Bernama