Gambar Hiasan |
Pegawai kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, menjelaskan bahawa tidak ada sebarang kumpulan yang ditubuhkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pemilihan agung parti itu nanti.
Pegawai berkenaan, Hafiz Abdul Halim mengatakan bahawa desas-desus itu tidak berasas sama sekali dan mungkin direka-reka oleh pihak tertentu.
“Siapa-siapa yang mereka-reka cerita kita perlu jawablah? Itu sudah (cukup) menjawab soalan kamu,” katanya semalam, sebagaimana yang dipetik dari sebuah portal yang sering dikaitkan dengan pembangkang, Malaysiakini.com.
Sebelum itu, sebuah portal mendakwa Timbalan Presiden UMNO itu sedang menyusun kumpulan yang diberi nama "Team 5M" dan dikatakan membariskan lima pemimpin UMNO untuk mencabar kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Menurut portal berkenaan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir turut telibat dalam kumpulan itu dan dijangka mencabar jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti yang mungkin berlangsung pada 2018 nanti.
Dakwaan itu turut mengatakan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kumpulan profesional, G25, turut terlibat dalam usaha menjatuhkan Mohd Najib.
Sementara itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula dikatakan bakal bertanding merebut jawatan Naib Presiden, mencipta penguasaan "Team 5M" dalam barisan pucuk pimpinan utama UMNO.
Bagaimanapun, Khaled dalam kenyataannya semalam menafikan dakwaan tersebut, sementara Mukhriz yang dihubungi Kedahnews.com menerusi aplikasi Whatsapp masih belum memberi sebarang jawapan berhubung isu berkenaan hingga kini. -Kedahnews.com