Peguam Dakwa Sultan Tiada Kuasa Mutlak Haramkan Penjualan VAPE

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Susulan dari titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mengharamkan penjualan vape di negeri Johor, pelbagai reaksi mengenai perkara ini dapat dilihat di ruang media sosial.

Ada yang menyokong dan ada yang mengutarakan pelbagai cadangan agar tindakan mengharamkan vape di negeri berkenaan ditarik balik.

Seorang peguam, Syahredzan Johan tampil menegaskan dalam satu kenyataan bahawa sultan tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengharamkan vape kerana bidang kuasa itu di bawah Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk membuat larangan berkenaan mengikut titah dan boleh juga memilih untuk tidak melaksanakan larangan itu.

“Jika larangan itu dilaksanakan, ia hanya melibatkan pengharaman menjual produk vape di peringkat majlis tempatan.

“Kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengharamkan vape kerana bidang kuasa itu di bawah Kerajaan Persekutuan,” tambah Syahredzan dalam satu status di akaun Facebooknya.


Beliau dalam kenyataannya itu juga menyatakan rasa setuju dengan titah baginda Sultan Ibrahim di mana isu vape tidak sepatutnya dijadikan isu perkauman seperti yang dilakukan sesetengah pihak.

Dalam laporan sebelum ini, baginda dikatakan telah memberi tempoh sebulan kepada semua peniaga vape di negeri itu untuk menutup premis perniagaan mereka bermula 1 Januari 2016.

Berikutan titah DYMM Sultan Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, kerajaan negeri akan membincangkan titah baginda pada mesyuarat majlis kerajaan negeri dalam masa terdekat. -Kedahnews.com