Penduduk Bendang Pak Yong Mohon Buka Pintu Kawal Air Banjir


TUMPAT – Kira-kira 5,000 penduduk dalam Mukim Bendang Pak Yong di sini meminta pihak berkaitan membuka 18 pintu mengawal air banjir yang dipasang di sepanjang Jalan Kasban bagi memudahkan pengaliran air ketika banjir berlaku.

Tinjauan Bernama mendapati yang dibina seperti pintu air di sepanjang Jalan Kasban yang turut bertindak sebagai tambak antara kawasan kampung dan Sungai Golok, hanya memperlahankan aliran keluar air dari kawasan sawah ke sungai kerana menggunakan pintu statik.

Ia menyebabkan sembilan kampung iaitu Kajang Sebidang, Kubang Sawa, Kuala Pisau Raut, Kuala Jambu, Bendang Pak Yong, Naga Ibu, Teluk Jering, Bunohan dan Simpangan dalam mukim berkenaan digenangi air kira-kira 0.6 meter sejak Jumaat lalu selepas hujan lebat melanda negeri ini yang menyebabkan limpahan air Sungai Golok ke kawasan berkenaan.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bendang Pak Yong, Ariffin Awang Chik, 54, berkata pembinaan pintu itu sejak beberapa tahun lepas menyebabkan air mudah bertakung di kawasan sawah.

“Pihak berwajib membina ‘fled gate’ ini kerana bimbang air masin dari Kuala Tumpat akan memasuki kawasan sawah. Namun dalam masa yang sama ia menyebabkan limpahan air Sungai Golok ketika banjir berlaku lambat surut.

“Perkara ini telah berlaku sejak beberapa tahun lepas namun sehingga sekarang tiada tindakan diambil oleh pihak berkenaan walaupun aduan telah dilakukan,” katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Seorang lagi penduduk, Mohd Zulkifli Mohd Zain, 44, berkata jika pintu berkenaan dapat dibuka, ia sekali gus dapat mengurangkan kesan banjir di kawasan berkenaan.

“Penduduk di sini menderita tiap kali musim tengkujuh bermula kerana air senang bertakung, tapi mengambil masa kadang-kadang sehingga dua minggu untuk surut.Kami juga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir di pekan Pengkalan Kubor yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kawasan kampung jika banjir berlaku,” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail yang turun padang meninjau masalah berkenaan berkata beliau akan memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak berkaitan agar masalah tersebut dapat diselesaikan.

“Saya juga bimbang dengan keadaan ini kerana apabila keadaan banjir di Rantau Panjang di Pasir Mas mulai surut, kawasan ini pula akan dinaiki air dan menyebabkan banjir berlaku.

“Masalah utama di kawasan ini adalah air Sungai Golok senang melimpah ke kawasan kampung, namun lambat surut. Saya akan bawa aduan penduduk ini kepada pihak berkaitan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Bernama melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan memberi tumpuan di beberapa kawasan di Tumpat terutama berdekatan Sungai Golok, berikutan air dari kawasan Rantau Panjang di Pasir Mas mula memasuki jajahan itu sejak Rabu . – BERNAMA