Pengantin Atas Lori 3 Tan Ditarik "Abam Badang" Di Pendang

Mohamad Faizal menarik lori tiga tan sejauh 20 meter, semasa upacara perarakan pengantin pada majlis perkahwinan Khansak dan Muhamad Khairul Izuan di Kampung Chegar, hari ini. - Foto Bernama
PENDANG - Pasangan raja sehari di Kampung Chegar, di sini menjadi tumpuan ramai apabila diarak sejauh 20 meter menaiki sebuah lori tiga tan yang ditarik oleh seorang ahli bina badan.

Lori dinaiki pasangan pengantin Muhamad Khairul Izuan Yunos, 28, dan Khansak Mohamad Shafir, 27, itu telah ditarik oleh Mohamad Faizal Mohamad Najib, 32, yang merupakan jurulatih kecergasan gimnasium disertai Khansak.

Khansak, seorang jururawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berkata beliau memperoleh idea perarakan sempena perkahwinannya itu setelah berbincang dengan Mohamad Faizal yang juga merupakan jurulatihnya.

"Idea ini datang dua bulan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan dan saya gembira kerana konsep yang kami buat ini berlainan berbanding konsep-konsep yang sedia ada.

"Apabila saya mengemukakan idea tersebut, beliau terus bersetuju kerana saya merupakan salah seorang anggota yang paling awal menyertai kelab gimnasium miliknya sejak ia ditubuhkan pada tahun 2013," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khansak berkata, sejak menyertai gimnasium tersebut, beliau berjaya menurunkan berat badannya yang sebelum ini mencecah 75kg kepada 50kg hasil tunjuk ajar daripada jurulatihnya.

Sementara itu, Mohamad Faizal yang merupakan pemilik Monster Fitness Gym di Mergong, Alor Setar berkata sebagai persiapan untuk menarik lori tiga tan itu beliau melakukan latihan intensif selama dua minggu.

Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama beliau menarik lori tiga tan, katanya.

"Pada tahun lepas, saya telah menarik lori bomba seberat 20 tan semasa menyertai Labuan Strongestman Challenge dan berjaya berada dalam kelompok 10 teratas," katanya.

Beliau yang juga merupakan bekas chef dan pernah berkhidmat di Menara Alor Setar mula terlibat dalam dunia bina badan sejak empat tahun lepas dan merupakan Setiausaha Malaysia Strongest Association.

Mohamad Faizal juga aktif dalam sukan ragbi yang diceburinya sejak di bangku persekolahan, sebelum memutuskan untuk membuka sebuah gimnasium yang kini memiliki 300 keanggotaan. - Bernama