Penduduk terpaksa mengecat bonggol jalan dan meletakkan kon selepas berlakunya beberapa kemalangan di laluan Taman Bandar Baru Darulaman dan Kampung Tok Kun. |
POKOK SENA - Pembinaan bonggol yang didakwa tidak mengikut spesifikasi ditetapkan di Taman Bandar Baru Darulaman, di sini menyebabkan seorang pengawal keselamatan cedera parah, kelmarin.
Isteri mangsa, Nurul Aida Ismail, 24, dari Kampung Tok Kun berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, suaminya, Mohd Sofi Jamaludin, 25, baru pulang dari kerja dan tidak menyangka adanya bonggol yang baru dibina di kawasan itu.
Menurutnya, bonggol itu baru dibina pada petang kelmarin menyebabkan ramai tidak menyedari kewujudan bonggol di situ.
"Kemalangan itu menyebabkan suami cedera parah di kepala, patah di bahu dan luka di badan.
"Suami saya juga tak sedarkan diri hingga terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah. Mujur waktu kejadian ada adik saya mengekori suami dari belakang," katanya.
Nurul Aida berkata, selain suaminya, ada dua lagi penunggang yang turut terlibat dalam kemalangan gara-gara bonggol itu.
"Pihak kontraktor seharusnya meletakkan kon keselamatan supaya orang ramai berhati-hati melalui kawasan itu lebih-lebih lagi bila bonggol itu baru saja dibina," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tok Kun, Jamaludin Salleh berkata, pihaknya kesal dengan tindakan kontraktor berkenaan yang membina bonggol di kawasan tidak sepatutnya.
Menurutnya, pihak berkenaan sepatutnya membina bonggol di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena Dua.
"Mereka langsung tak maklumkan kepada kami sewaktu membina bonggol itu.
"Malah mereka juga tak mengecat atau meletakkan papan tanda supaya berhati-hati. Ini menyebabkan penunggang motosikal tidak menyedari wujudnya bonggol yang baru dibina di situ," katanya.
Jamaludin berkata, dia meminta agar pihak berkenaan menyelesaikan masalah itu dan meletakkan bonggol di tempat yang sepatutnya.
"Penduduk dah ambil inisiatif mengecat bonggol itu dan meletakkan kon agar pengguna tidak lagi terlibat dalam kemalangan," katanya.
Sumber: Sinar Harian