Strategi pemasaran tidak dapat dinafikan sememangnya penting dalam perniagaan agar barangan atau khidmat yang dijual menjadi laris, sama seperti menawarkan potongan harga atau memberi hadiah percuma menerusi pembelian.
Namun apa yang dilakukan seorang peniaga kecil di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia ini nyata berbeza daripada peniaga lain.
Ini kerana penjual jamu tradisional ini mengamalkan teknik berdakwah dalam perniagaannya dengan menawarkan produk jamu percuma kepada para pelanggannya dengan syarat, mereka menghafal Al-Quran.
“Jualan yang membawa pesan moral,” demikian ditulis peniaga itu di laman Facebook Komunitas Pengusaha Muslim Indonesia baru-baru ini.
Strategi dan niat murni peniaga itu sekali gus dipuji oleh para netizen, serta mungkin ampuh untuk dipraktikan juga oleh para peniaga muslim di negara kita, Malaysia.
Selain menjual jamu, peniaga bermotosikal ini turut membawa bersamanya buku-buku keislaman untuk dibaca oleh pelanggannya. –Kedahnews.com