CALIFORNIA - Seorang lelaki disyaki penyamun maut selepas tersangkut dalam serombong sebuah kediaman di California, lewat kelmarin, apabila pemilik rumah yang tidak menyedari kehadirannya menyalakan api di pendiangannya.
Syerif Daerah Fresno Leftenan Brandon Pursell berkata, seorang pemilik rumah di pekan Huron terdengar bunyi jeritan tidak lama selepas dia menyalakan api.
Lelaki itu terus menghubungi talian kecemasan selain cuba memadam api selepas rumahnya mula dipenuhi asap.
Bomba yang dikejarkan ke tempat kejadian menggunakan gerudi tukul untuk memecahkan serombong dibuat daripada batu bata itu dalam usaha menyelamatkan lelaki terbabit.
Malangnya, lelaki itu tidak sempat diselamatkan. Identitinya masih belum diketahui.
Pursell berkata, lelaki itu pada mulanya masih bernafas dan bergerak ketika operasi menyelamat dimulakan.
Portal berita KFSN melaporkan, siasatan awal menunjukkan lelaki itu memanjat masuk ke serombong itu pada malam sebelumnya untuk menyamun rumah itu.
Malangnya, dia tersangkut di dalam.
Sehari kemudian, pemilik rumah itu yang tidak menyedari kehadirannya menyalakan api di penghadang berkenaan. -Agensi