Perpaduan Adalah Teras Kekuatan, Kemuliaan Ummah - Mohd Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak
ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan tentang pentingnya perpaduan di kalangan umat Islam sebagai fokus utama dalam perutusan Maulidur Rasul bagi tahun 1437 Hijrah.

"Ummah bukanlah nama bagi satu kaum yang bermastautin di satu-satu tempat; bahkan apabila berjuta insan daripada kaum yang pelbagai, tinggal di kawasan yang berlainan.

"Apabila mereka hidup harmoni dan bersatu-padu, maka jadilah mereka sebagai satu ummah.

"Perasaan keumatan inilah asas sejati perpaduan, silaturahim dan ukhuwah Islamiah. Manakala perpaduan pula adalah teras kekuatan dan kemuliaan umat ini," katanya di www.najibrazak.com, semalam.


Oleh itu katanya, amat penting perpaduan ini dihayati oleh kita dan ia diterjemahkan dalam bentuk kesatuan kasih sayang dan tindakan praktikal.

Katanya, ia bermula dengan unit asas seperti keluarga, kejiranan hatta ke peringkat negara malah antarabangsa.

Najib menambah, membina perpaduan merupakan antara Sunnah terpenting yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW.

Beliau berkata transformasi menuju negara Islam yang maju dan berpendapatan tinggi dengan wasatiyyah bersendikan Maqaasid Syariah sebagai prinsip pentadbirannya, serta Ahli Sunnah wal Jamaah sebagai pegangannya akan terus menjadi keutamaan kita. -Kedahnews.com