Pertukaran Secara Holistik Libat 30,000 Warga Pendidik - Cikgu Det

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid
ALOR SETAR - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan proses pertukaran guru secara holistik di seluruh negara bakal membabitkan seramai 30,000 orang warga pendidik, khususnya bagi menyatukan pasangan guru yang berjauhan sebelum ini.

Menjelaskan mengenai permasalahan yang menghantui golongan guru sejak sekian lama itu, Mahdzir memberitahu bahawa kaedah pertukaran guru itu tidak menggunakan kaedah sistem 'lampu isyarat' yang pernah dilaksanakan sebelum ini

"Proses fasa pertama pertukaran/perpindahan untuk menyatukan semula pasangan guru yang berjauhan sedang berjalan.

"Pertukaran ini menggunakan mekanisme yang diluar sistem sedia ada seperti saya nyatakan di sini pada 28 November yang lepas. Jumlah keseluruhan yang terlibat adalah seramai lebih kurang 30 ribu orang," jelas Mahdzir di laman rasmi Facebooknya.

Mengulas mengenai fasa-fasa tersebut, beliau yang turut dikenali sebagai "Cikgu Det" menjelaskan bahawa selain fasa pertama pada November lalu, fasa-fasa pertukaran guru yang seterusnya akan berlaku sehingga tahun depan.

"Proses ini melibatkan beberapa fasa yang telah bermula pada bulan ini dan berterusan pada tahun hadapan.

"Saya memandang serius perkara ini. Minggu hadapan, in shaa Allah, KPM akan umumkan jumlah yang terlibat dalam fasa pertama," jelasnya lagi.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menggunakan sistem 'lampu isyarat' bagi menangani masalah pertukaran guru, namun kaedah itu tidak mencapai tujuan sebenar dan dikatakan tidak berkesan bagi menangani masalah warga pendidik.

Mahdzir baru-baru ini memaklumkan tentang pendekatan terbaru beliau mengatasi masalah pertukaran guru tersebut yang dilaksanakan berdasarkan keutamaan secara holistik "mengubat duka lara" pasangan guru yang terpisah sebelum ini. -Kedahnews.com