PKR Jadi "Batu Api", "Arahkan" KJ Sertai Muhyiddin Dan Tun M

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) gembira dengan peranan yang dimainkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mantan Presiden UMNO, Tun Mahathir Mohamad bagi menggoncang kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sepatutnya menyertai Muhyiddin dan Mahathir dalam usaha itu berdasarkan ucapan beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

“Saya berharap Khairy Jamaluddin berhenti dari cuba meraih simpati rakyat di gelanggang sendiri seperti di Perhimpunan Agung UMNO.

“Jika beliau betul-betul mahu membela rakyat dan ada maruah, beliau sepatutnya meletakkan jawatan dengan kadar segera sebagai bantahan kepada dasar-dasar pentadbiran Najib yang beliau sendiri akui menekan rakyat,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.

Rafizi berkata, beliau percaya jika Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan boleh menggoncang kedudukan Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Menurutnya, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya menyebut bahawa beliau sering bersuara di dalam Jemaah Menteri membantah kenaikan harga termasuklah kenaikan tol baru-baru ini.

Katanya, Khairy Jamaluddin turut mengesahkan golongan muda begitu tertekan dengan kenaikan kos sara hidup waktu ini.

“Pun begitu, saya tidak begitu yakin Khairy Jamaluddin akan berani mengambil tindakan-tindakan sebegini,” katanya. –Kedahnews.com