PKR Pantau Segala-galanya Tentang Kerjasama UMNO - PAS, Kata Rafizi

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR - PKR dalam kenyataannya hari ini mengaku pihaknya sedang memantau ketat sejauhmana kerjasama yang terjalin di antara dua parti Melayu Muslim terbesar negara, UMNO dan PAS.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan bahawa pemantauan itu dilakukan kerana mendakwa PAS masih mempunyai kerjasama dengan PKR sehingga kini.

"Kita memantau segalanya-galanya (kerjasama antara UMNO dengan PAS)," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini pada Persidangan Agung UMNO 2015 yang baru berakhir semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak‎ menghulurkan tali silaturahim kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.

Ditanya mengenai kesan terhadap Pakatan Harapan, Rafizi berkata sekiranya ia benar-benar berlaku, maka pihaknya tiada pilihan lain selain berhadapan dengan perkara berkenaan.

Sementara itu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang turut serta pada majlis tersebut ketika ditanya mengenai kerjasama antara UMNO dengan PAS berkata, ia terpulang kepada kedua-dua parti untuk membuat keputusan.

Katanya lagi, beliau tidak tahu apa yang direncanakan oleh Najib mahupun PAS melalui usaha kerjasama kedua-dua parti itu.

"Saya tidak tahu apa yang ada dalam kepala Najib, terserahlah kepada UMNO dengan PAS untuk buat keputusan," kata Mohamad yang juga merupakan bekas Timbalan Presiden PAS. -Kedahnews.com