PM Saran Selia Pembiayaan Dana Politik, Tapi Pembangkang Tolak


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam sistem demokrasi, amalan menerima dana politik dibenarkan kepada parti-parti politik.

Timbalan perdana menteri berkata derma politik bukan perkara baharu dalam sistem demokrasi.

Malaysia ketika ini sememangnya masih tidak mempunyai undang-undang khusus bahawa derma atau pembiayaan politik perlu diisytiharkan dan tidak mengharamkan derma untuk kegunaan politik, katanya ketika memberi penerangan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberi penerangan di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) berkaitan isu dana politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri.

“Malah realitinya di kebanyakan negara maju juga derma politik diberi secara umum. Janganlah mana-mana pihak menuding jari dan berpura-pura tidak memerlukan dana politik kerana dalam sistem demokrasi derma politik bukan perkara baharu,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Menyentuh mengenai ketiadaan undang-undang khusus tersebut ketika ini, Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah menyatakan kesediaannya supaya pembiayaan politik dikawal selia sejak tahun 2009 lagi.

“Pada 2010, Program Transformasi Kerajaan (GTP) menyarankan cadangan kawal selia terhadap pembiayaan dana politik. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga telah menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya oleh Transparency International (TI) Malaysia pada tahun 2013.

“Namun, saranan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk mengawal selia derma atau pembiayaan dana politik tidak jadi kenyataan kerana cadangan ini ditolak oleh parti pembangkang dan sehingga kini tidak ada undang-undang khusus dalam negara untuk menguruskan pemberian pembiayaan dana politik,” katanya.

Memandangkan isu derma ini telah mendapat perhatian umum dengan pelbagai reaksi, Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri pada tahun ini sekali lagi mengetengahkan semula cadangan asal untuk mengawal selia pemberian dana politik dengan mnenubuhkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang akan mengambil kira pandangan semua pihak berkaitan.

Beliau berkata pada 4 Ogos 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaklumkan bahawa jumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri itu bukan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahmad Zahid berkata kerajaan telah dinasihatkan oleh Peguam Negara bahawa apa-apa kenyataan tidak wajar diberikan berhubung dengan perkara yang dibangkitkan memandangkan perkara tersebut masih dalam siasatan oleh agensi yang berkaitan.

“Namun begitu, saya rasa perlu dimaklumkan bahawa SPRM telah pun mengenal pasti penderma dana politik RM2.6 bilion. Selain itu, Bank Negara juga telah dimaklumkan mengenai pembukaan akaun bank tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata agensi yang berkaitan hendaklah diberikan kebebasan dalam menjalankan siasatan secara telus dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Apa-apa kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berhubung dengan perkara yang dibangkitkan boleh dianggap sebagai sub judice yang boleh menjejaskan perjalanan sesuatu siasatan dan juga menimbulkan prejudis oleh orang awam terhadap pihak-pihak dalam siasatan berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid memberikan penerangan tersebut susulan isu dana politik itu telah dibangkitkan oleh beberapa anggota dewan melalui pertanyaan bagi Jawapan Lisan, pertanyaan bagi Jawapan Bertulis serta semasa perbahasan peringkat dasar dan jawatankuasa Bajet 2016 pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-13 Dewan Rakyat yang bermula pada 19 Okt 2015. – BERNAMA