#PRNSarawak: Adenan Satem Dijangka Teruskan Kesinambungan BN


KUCHING - Populariti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang tinggi di kalangan rakyat Sarawak akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri nanti.

Menurut penganalis politik Profesor Madya Dr Ahi Sarok, ia adalah hasil langkah atau dasar populis yang telah diumumkan Adenan termasuk penurunan kadar tarif elektrik, penghapusan tol, pemberian RM12 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan banyak lagi.

“Populariti Adenan dalam kalangan pengundi Bumiputera ialah 78 peratus berbanding 67 peratus bagi pengundi Cina.

“Ini sedikit sebanyak akan memberi kelebihan kepada BN kerana pilihan raya yang akan datang ialah untuk memilih ADUN dan kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Namun demikian, populariti Adenan mungkin tidak mampu mempengaruhi pengundi di bandar untuk menyokong BN.

Justeru, Ahi berkata tulang belakang kerajaan BN Sarawak adalah hanya pengundi luar bandar di mana dalam tempoh dua tahun kerajaan negeri telah memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk membangunkan kawasan luar bandar.

“Rakyat masih dibelenggu dengan kos sara hidup yang tinggi… maka pengundi di bandar dijangka akan memberi sokongan kepada pembangkang manakala luar bandar akan memihak kepada BN,” katanya.

Selain itu, beliau berkata dengan 11 kerusi baharu, BN juga dijangka boleh mengekalkan dua pertiga kerusi di DUN dan mampu merampas semula dua atau tiga kerusi daripada pembangkang khususnya kerusi luar bandar.

Manakala Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman menyifatkan populariti Adenan banyak berfokus kepada strategi dan pendekatan beliau dalam memenangi hati rakyat tempatan.

“Umum mengetahui Adenan banyak mengetengahkan isu-isu berkaitan autonomi yang lebih besar kepada pentadbiran negeri daripada kerajaan persekutuan termasuk aspek peningkatan royalti, peningkatan peruntukan dan penambahbaikan infrastruktur serta dalam aspek yang menyentuh urusan sektor akademik.

“Isu-isu yang dibangkitkan itu adalah antara perkara yang sememangnya menjadi minat majoriti masyarakat tempatan selama ini dan dengan yang demikian sudah pastilah apabila isu ini diketengahkan oleh beliau, jelas ia menampakkan sambutan yang hebat daripada masyarakat setempat,” katanya.

Mohd Fadzil menambah, kempen isu pembalakan yang dibangkitkan Adenan sebaik sahaja memegang tampuk pentadbiran juga dilihat berjaya menarik minat dan rasa keterujaan banyak pihak pada awal pelantikan beliau.

“Kesungguhan yang ditunjukkan itu dilihat oleh masyarakat tempatan sebagai satu ketegasan pendirian Adenan berhubung isu berkenaan,” katanya.

Daripada aspek lain, Mohd Fadzil berkata populariti Adenan juga berkaitan langsung dengan pendekatan beliau dalam menumpukan kepada aspek kebajikan yang boleh dilihat dan dirasai rakyat, dikukuhkan lagi dengan penghapusan tol dan penurunan tarif elektrik.



“Kalau di Semenanjung semuanya naik…kita di Sarawak tidak ikut malah menurun dan memberikan lebih banyak kemudahan meringankan bebanan rakyat…ini ternyata menambahkan lagi populariti beliau.

“Rakyat tempatan sudah pasti amat teruja dengan pendekatan yang menampakkan apa yang dapat mereka rasai dan lihat dengan nyata,” katanya.

Pendekatan Adenan memenangi tuntutan semua rakyat tempatan daripada pelbagai kaum walaupun berlainan daripada dasar yang diamalkan oleh pihak persekutuan juga dilihat antara penyumbang besar kepada populariti beliau.

Menurut Mohd Fadzil, Adenan banyak menyatakan pendiriannya yang tegas dalam satu-satu hal walaupun ia mungkin agak sukar untuk dinyatakan secara terbuka seperti dalam aspek penggunaan bahasa Inggeris  dalam urusan rasmi kerajaan negeri.

Katanya ia adalah antara satu pendekatan yang tegas dan berani yang pernah dibuat oleh Adenan terutama yang menyentuh soal dasar.

Sehubungan itu, katanya ia sudah pasti memberi populariti yang besar kepada beliau terutama di kalangan golongan yang selama ini banyak mengetengahkan isu penggunaan dan penguasaan bInggeris di kalangan masyarakat tempatan.

“Dengan kata lain, populariti Adenan banyak didorong oleh pendekatan beliau memenangi hati rakyat tempatan melalui pelbagai pelaksanaan dan inisiatif… sifat bersahaja beliau dalam mendekati rakyat sama ada dalam majlis formal atau tidak, turut menyumbang populariti beliau,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing menyifatkan populariti Adenan di kalangan rakyat negeri ini merupakan petanda baik bagi BN di Sarawak.

“Populariti beliau mesti diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN terutama di kawasan bandar,” katanya.

Bagaimanapun, Masing berkata kemelut politik SUPP dan UPP yang berterusan boleh menjadi penghalang kepada keupayaan Adenan untuk menarik undi Cina kepada BN.

Justeru, beliau menegaskan agar ia mesti diselesaikan secepat mungkin dan perlu dilakukan berdasarkan prinsip politik yang kukuh.

“Pengundi Cina pasti dapat melihat keikhlasan untuk menyelesaikan masalah ini dan tidak akan bersetuju dengan sebarang agenda untuk memecahbelahkan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Masing berkata populariti Adenan di kawasan luar bandar juga harus diterjemahkan kepada undi untuk BN.

“PRS akan memberi kejayaan kepada BN dan Adenan jika diberi peluang untuk membuktikan kekuatan di peringkat akar umbi,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Tanah.

Adenan dipilih sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu selepas penyandangnya Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan pada 2014.

Pilihan Raya Negeri dijangka diadakan tahun depan kerana tempoh penggal Dewan Undangan Negeri adalah tamat pada Jun.

Dalam pilihan raya pada 2011, BN Sarawak berjaya memenangi majoriti dua pertiga dengan memperoleh 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan manakala DAP meraih 12 kerusi, PKR (tiga) dan Bebas (satu).

PRN akan datang akan menyaksikan bilang kerusi DUN Sarawak bertambah sebanyak 11 kerusi kepada 82 serusi selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meluluskan persempadanan semula kawasan DUN Sarawak.

Sebelas kerusi DUN baharu itu ialah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mul.

Sumber: UB