Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam sidang akhbar, kelmarin. |
ALOR SETAR - Penjualan barangan halal dan tidak halal hendaklah diasingkan berikutan termaktub dalam syarat-syarat yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sekiranya terdapat pasar raya pamer atau menjual kedua-dua barangan itu pada tempat sama, ia suatu kesalahan dan tindakan boleh diambil terhadap premis berkenaan.
“Syarat yang kita tetapkan adalah, pasar raya hendaklah pastikan barangan halal dan tidak halal termasuk penjualan arak diletak berjauhan atau terasing, malah disarankan adakan satu sudut khas untuk barang tidak halal,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Jom Kembali Ke Sekolah 2016, peringkat negeri Kedah, kelmarin.
Menurutnya, syarat berkenaan sudah lama dipraktikkan dan sekiranya ada premis tidak mematuhinya, tindakan tegas akan dikenakan.
“Saya mohon pengguna buat aduan jika melihat perkara ini berlaku. Pihak-pihak berkaitan pula dinasihatkan lebih sensitif terhadap sensitiviti masyarakat lain,” katanya.
Jumaat lalu, Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mendedahkan tindakan sebuah pasar raya di pusat bandar menjual dan mempamerkan arak dalam satu gondola yang sama dengan minuman halal.
Presidennya, Datuk Yusoff Ismail berkata, masalah itu berlarutan sejak pasar raya itu memulakan operasinya kira-kira lebih tiga tahun lalu.
Sumber: Sinar Harian