Projek Tanam Anggur Di Perlis Diteruskan, Cuma Keluasan Dikurangkan

Gambar Hiasan
KANGAR – Projek tanaman anggur di Taman Anggur Sungai Batu Pahat, Bintong dekat sini dikekalkan tetapi keluasannya akan dikurangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Bakri Ali berkata pengurangan itu dibuat memandangkan kos penyelenggaraannya yang tinggi.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, beliau berkata daripada keseluruhan kawasan itu, 3.35 hektar dikekalkan dengan tanaman anggur manakala baki 4.75 hektar lagi dialihkan kepada projek tanaman mangga harum manis.

Menurut Ahmad Bakri, kerajaan negeri mengambil keputusan mengekalkan tanaman anggur berkenaan kerana kewujudannya selama ini berjaya menjadi antara tarikan pelancong.

“Lebih-lebih lagi kawasan Kebun Anggur Sungai Batu Pahat terletak berhampiran Taman Ular dan Reptilia Sungai Batu Pahat serta laluan ke Taman Herba di Bukit Bintang. Jadi, ia sesuai sekali untuk dikekalkan,” katanya.

Ahmad Bakri berkata pada 24 Sept tahun lepas kerajaan negeri telah memberi kelulusan kepada satu syarikat swasta mengambil alih pengurusan taman berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pada 26 Dis 2014, syarikat itu memaklumkan mereka terpaksa menarik diri daripada projek itu kerana masalah mendapatkan tenaga kerja mahir.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri bersetuju supaya Jabatan Pertanian Negeri mengambil alih semula pengurusan Taman Anggur berkenaan bagi memastikan ianya dapat terus beroperasi.

Ahmad Bakri berkata sesuai dengan matlamat menjadikan taman berkenaan sebagai antara tarikan pelancong di negeri ini, beberapa pendekatan baharu akan dilakukan supaya ianya lebih menarik.

Katanya antara pendekatan itu ialah memperkenalkan pelbagai jenis anggur baharu selain mempelbagaikan jenis tanaman seperti delima, avokado, aprikot dan zaitun supaya ia ada kelainan daripada taman anggur di negeri lain di negara ini.

“Selain itu, rumah semaian akan turut dibangunkan untuk dijadikan tempat memberi penerangan kepada pengunjung mengenai kaedah penanaman dan penjagaan pokok anggur supaya lebih mudah difahami,” katanya. – BERNAMA