SEOUL - Bintang ‘Gangnam Style’ Psy semalam mengaku dia tidak akan dapat mengulangi kejayaan seperti yang dicapainya pada 2012 menerusi lagu itu.
Bagaimanapun, menurutnya, dia cukup senang dengan kedudukannya ketika ini selaku artis K-pop.
Penyanyi itu menjadi popular di peringkat antarabangsa selepas video muziknya ‘Gangnam Style’ yang menunjukkan dia menari dengan seolah-olah menunggang kuda ghaib menjadi viral.
Lagu itu yang mengisahkan kehidupan mewah penduduk Gangnam, sebuah daerah di Seoul, kekal menjadi video paling banyak ditonton di Youtube, dengan lebih 2.4 juta tontonan setakat ini.
Bercakap pada sidang media untuk melancarkan album barunya, Psy, 37, berkata, kejayaan ‘Gangnam Style’ menyebabkan dia kadangkala berdepan dengan masalah kehidupan.
“Tekanan dan stres kerana populariti lagu itu amat besar,” katanya.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan dia akan mengulangi kejayaan itu, Psy berkata: “Tidak mungkin. Saya tidak fikir sesuatu seperti ‘Gangnam Style’ akan berulang.”
Album barunya, ‘Cider’ mengandungi sembilan lagu, termasuk ‘Daddy’ dan ‘Bell Bottoms.’ - Agensi