Puteri Sulung Raja Muda Perlis Terima Ijazah University of Melbourne

Sharifah Khatreena ‎Nuraniah, (dua, kanan) meraikan saat-saat gembira bersama kedua ibu bapa, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kiri). Puteri sulung berusia 20 tahun itu, menerima ijazah Sarjana Muda Sastera (Double Major in International Relations and Politics dan juga Anthropology) pada konvokesyen University of Melbourne, Australia baru-baru ini. Beliau menerima ijazah daripada Timbalan Canselor Ross McPherson. - FOto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Sharifah Khatreena ‎Nuraniah, puteri sulung Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, menerima ijazah daripada University of Melbourne, Australia baru-baru ini.

Menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, puteri berusia 20 tahun itu menerima ijazah Bachelor of Arts (Double Major in International Relations and Politics) pada konvokesyen universiti tersohor itu yang disampaikan Timbalan Canselornya Ross McPherson.

Turut meraikan kejayaan itu ialah ayahanda dan bonda serta adinda-adinda Sharifah ‎Farah Adriana, 14 dan Syed Sirajuddin Areeb Putra, 6, yang menghadiri istiadat penuh gilang gemilang sarat dengan tradisi yang diadakan di Royal Exhibition Hall, Melbourne.

Turut hadir mengiringi baginda berdua ialah Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne Westmoreland Palon.

Sharifah Khatreena Nuraniah dilahirkan di Hospital Pantai Kuala Lumpur pada 10 Feb 1995 dan mendapat pendidikan awal di Inter-Community School (ICS) of Zurich di Zumikon, Switzerland ketika ayahandanya berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan Switzerland, Austria dan Eropah Tengah bagi Malaysia Airlines.

Sharifah Khatreena Nurainiah juga menceburi perniagaan dengan memanfaat masa lapangnya semasa masih belajar untuk mencipta beg tangan, tudung muslimah dan fesyen pakaian berjenama ‘H.H. Sharifah Khatreena’ atau ‘HHSK’ untuk syarikat miliknya yang diasaskan pada 2014 dengan outlet pertamanya di Kuala Lumpur.

Puteri juga pernah mengikuti program menghadapi bencana termasuk ‎’First Aid Courses In Every Government Department’ anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perlis,‎ ‘Disaster Management Workshop’ oleh International Disaster Response Network (IDRN), Colorado Spring dan bengkel ‘Towards the Building of Self Excellence’ oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis. – BERNAMA