Gambar Hiasan |
Antara ramalan atau pandangan paling dinantikan penggiat industri pelancongan pada setiap akhir tahun adalah Kajian Niat Perjalanan Visa (Visa Travel Intentions Study), satu kertas kerja yang membentangkan analisis data daripada pelbagai sektor termasuk tren pelancongan secara keseluruhan dan berasaskan teknologi.
Awal tahun ini, syarikat perkhidmatan kewangan itu telah melakukan sesi bancian terhadap 13,603 pelancong dewasa dari 25 buah negara seluruh dunia mengenai niat dan pengalaman merekabagi tahun 2015 dan 2016.
Data yang diperoleh kemudiannya dibandingkan dengan respon pelancong pada tahun 2013.
Maka berdasarkan maklumat yang diperoleh, dapatlah dirumuskan tentang 10 perkara:
1. Dengan purata 2.42 kali setiap seorang, pelancong paling banyak mengembara pada dua tahun kebelakangan ini berasal dari benua Amerika Utara dan Selatan. Bilangan pelancong paling rendah pula dari negara-negara Afrika dan Timur Tengah.
2. Peningkatan jumlah pelancong antarabangsa paling besar pada tahun 2014 dan 2015 adalah warga Asia Tenggara, Indonesia di tangga pertama dengan pertumbuhan 33% berbanding 2013, diikuti Thailand sebanyak 22% dan Korea Selatan (+21%).
Bilangan pelancong dari Malaysia pada 2015 meningkat 14% berbanding 2014 dan 2013. Sumber: Visa Travel Intentions Study.
3. Meskipun matawang ringgit jatuh sedikit tahun ini, namun kewangan rakyat Malaysia menampakkan perkembangan positif dengan pertambahan golongan yang melancong sebanyak 14% berbanding dua tahun sebelum ini.
4. Menariknya, dua negara yang mengalami penurunan mendadak bilangan pelepasan pelancong sejak 2013 adalah Mesir (turun 36%) dan Maghribi (turun 64%), namun pada masa sama turut menunjukkan minat untuk melancong ke luar negara pada tahun hadapan.
5. Walaupun semakin kurang melancong, warga Afrika dan Timur Tengah biasanya bercuti pada tempoh yang lama di satu-satu masa, dengan purata 13 hari setiap percutian, iaitu 5 hari lebih lama berbanding pelancong yang mengambil masa paling singkat untuk melancong iaitu orang Asia.
6. Pelancong daripada Saudi membelanjakan wang paling banyak setiap kali melancong dengan anggaran $5,866 (RM25211.19) setiap orang pada tahun 2015, manakala pelancong Malaysia paling cermat berbelanja, hanya $1,145 (RM4921.04).
7. Memanjakan diri mungkin salah satu sebab melancong, namun ianya bukanlah tujuan utama. Majoriti responden menyatakan niat melancong mereka untuk merapatkan hubungan bersama sahabat dan keluarga.
8. Amerika Syarikat mencatat bilangan kemasukan pelancong antarabangsa paling ramai namun Jepun telah melonjak ke tangga kedua, melepasi UK, Perancis dan China sejak tahun 2015.
9. Para responden menyatakan permandangan cantik sebagai sebab #1, selain faktor perbelanjaan, bagi memilih sesuatu lokasi pelancongan untuk tahun 2016.
10. Sebanyak 20% daripada bilangan pelancong memasang niat untuk gunakan ejen pelancongan dan khidmat lawatan persendirian pada tahun 2015, berbanding 2013 lalu. –Kedahnews.com