Rempuh Penjara Dengan Kereta Sebab Nak Jumpa Kawan


MIAMI – Pihak berkuasa di Florida, Amerika Syarikat menahan seorang lelaki pada Sabtu selepas dia cuba memecah masuk penjara dengan merempuh keretanya pada pintu masuk sebelum memanjat pagar.

Suspek iaitu Patrick Rempe, 24; berjaya ditahan selepas keretanya itu terperangkap pada pagar penjara berkenaan dan kemudian terpaksa menerima rawatan kerana mengalami kecederaan ringan.

Menurut polis tempatan, ketika disoal siasat, Rempe berkata, dia sengaja bertindak demikian kerana ingin sangat melawat beberapa rakannya yang menjadi banduan di dalam penjara tersebut. 

Lelaki tempatan itu bakal berdepan dengan pelbagai tuduhan yang serius, termasuk menyebabkan kerosakan harta kerajaan dan jenayah pecah masuk bangunan.

Jurucakap penjara berkata, memandangkan Rempe ditahan tanpa dibenarkan ikat jamin, dia kini mempunyai banyak masa untuk bersama-sama rakannya di dalam penjara itu. – Agensi