"RM3,000 Tidak Boleh Pergi Ke Mana Pun.." - Puteri UMNO

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengkaji semula takrif atau ukuran pendapatan isi rumah miskin bandar berikutan peningkatan kos sara hidup yang menghimpit warga kota, kata Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata takrif golongan miskin bandar iaitu isi rumah dengan pendapatan di bawah RM3,000 sebulan tidak lagi relevan pada masa kini lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos pengangkutan sejak kebelakangan ini.

“RM3,000 tidak boleh pergi mana pun. Kadang-kadang habis pada perbelanjaan asas seperti pengangkutan sahaja.

“Bukan hanya pihak pembangkang, tetapi penyokong setia kita (UMNO) pun sudah menyuarakan rasa tidak puas hati,” katanya kepada Bernama ketika melawat Laman Media pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

Mas Ermieyati berkata masalah peningkatan kos sara hidup yang mendapat perhatian dalam Persidangan Agung Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO pada Rabu lepas menunjukkan orang muda dalam parti mahu kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu itu.

Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO, beliau menyentuh mengenai kadar tambang pengangkutan awam antaranya sistem transit aliran ringan (LRT), Express Rail Link (ERL) dan Bus Rapid Transit yang bagaikan sedang meraikan musim kenaikan harga dan memberi kesan sangat mendalam kepada orang muda. – BERNAMA