Gambar Hiasan |
DALAM mempertahan langkah untuk mempertingkat pengetahuan dan penguasaan bahasa Inggeris melalui Program Dwibahasa, beberapa pihak didapati bukan sahaja ghairah, malah sanggup memutar belit sesetengah fakta.
Ini sengaja dilakukan untuk memperlihat betapa dahsyatnya musibah linguistik ini, yakni tidak memiliki kecekapan berbahasa Inggeris.
Satu faktanya ialah pemberhentian kendiri seribu doktor terlatih sejurus tamat latihan siswazah wajib selama dua tahun di hospital kerajaan. Ia pertamanya dikaitkan dengan kegagalan menguasai bahasa Inggeris dengan baik, untuk meneruskan kerjaya mereka.
Alasan berniat jahat
Alasan yang diada-adakan ini bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi kelihatan benar berniat jahat.
Ini pelik apabila semua doktor ini yang mampu pun mengikut pendidikan perubatan mereka sebelum ini, yang boleh dikatakan sebahagian besarnya dikendalikan dalam bahasa Inggeris, walaupun di universiti awam, akhirnya meninggalkan bidang ini kerana tidak sanggup lagi berdepan dengan masalah bahasa Inggeris yang kononnya mereka hadapi.
Sebenarnya mereka ini meninggalkannya kerana tidak sanggup terus bertugas sebagai doktor kerana pelbagai alasan lain.
Antaranya tiada minat selanjutnya, keadaan kerja yang pada kebanyakan masanya panjang dan teruk, dan keinginan menjadi usahawan dalam bidang kesihatan dan kecantikan.
Inilah alasan sebenarnya dan bukannya pengetahuan dan penguasaan bahasa Inggeris yang didakwa lemah pada semua doktor ini.
Seluruh rakyat mengetahui tahap kecekapan berbahasa Inggeris yang rendah pada pelajar kita, dan memahami keburukan yang bakal menimpa mereka jika tidak tekun menguasainya. Tiada satu golongan pun di negara ini yang menentang langkah baik untuk memperbaiki keadaan linguistik ini.
Sehubungan ini, yang ditentang sesetengah pihak ialah kaedah yang digunakan untuk tujuan pembaikan itu.
Program dwibahasa untuk mengajar mata pelajaran sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris semula, bersekali dengan bahasa Melayu kali ini, tidak boleh diterima. Ia yang pernah dilaksanakan didapati bermasalah dan telah pun ditinggalkan dalam sistem pendidikan negara.
Ia yang bertujuan untuk mempertingkat kecekapan berbahasa Inggeris, didapati tidak sesuai dahulu kerana mata pelajaran sains dan matematik tidak mempunyai kandungan deskriptif untuk memanipulasi bahasa untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Ia yang bersifat objektif, yakni berfakta dan menjurus langsung kepada pemahaman kelakuan dunia tabii dan fizikal serta cara perhitungan, tidak banyak menggunakan bahasa dalam laras dan gaya subjektif, iaitu berpersepsi, yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan bahasa.
Dengan kata lain, mata pelajaran Sains dan Teknologi tidak banyak kandungan bahasa di dalamnya. Tujuan ini sesungguhnya lebih tepat dilakukan dalam mata pelajaran yang kandungannya bersifat subjektif, seperti sastera dan sejarah.
Sebagai bidang kreatif dan deskriptif, dua mata pelajaran ini bukan sahaja mampu, tetapi adalah wahana afdal untuk pendidikan bahasa. Sastera sebagai bidang kreatif memang terbukti wahana terbaik untuk memperkasa bahasa yang dipelajari itu.
Penggunaan bahasa yang indah selain bermacam cara pengungkapan kendiri dalam pelbagai jenis sastera itu, baik yang prosa mahupun puisi, didapati mampu meningkatkan kemahiran berbahasa yang diinginkan itu.
Pengungkapan kendiri oleh pengarang dalam karya sastera boleh digemblengkan guru untuk pelajar memberi maklum balas, baik secara lisan secara spontan mahupun tulisan yang dihantar kemudian.
Dalam konteks pendidikan bahasa ialah penggunaan bahasa yang baik dan betul, dari pertimbangan komunikasi dan tata bahasanya.
Wahana penting negara
Sejarah sebagai bidang deskriptif dalam bentuk pengkisahan dan dokumentari adalah wahana tepat bukan sahaja untuk memahami peristiwa penting negara.
Ia juga memberi perincian dengan menggunakan bahasa yang tepat, termasuklah tatabahasanya. Perincian ini boleh digemblengkan guru untuk pelajar meneliti dan mencontohi penggunaan bahasa yang berkesan itu, sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Antaranya pemilihan kata, penggunaan ayat dan penerapan gaya untuk menghuraikan sesuatu kejadian yang bukan sahaja tepat faktanya, tetapi juga yang boleh dihayati emosinya, untuk pemupukan nasionalisme dan patriotisme.
Untuk tujuan peningkatan kemahiran berbahasa, jelas ternyata Sains dan Matematik bukan sesekali wahananya. Oleh itu, Program Dwibahasa itu hendaklah digantikan dengan yang lain yang lebih jelas sumbangan linguistiknya.
Sumber: Berita Harian