GEORGE TOWN - Seorang sami Hindu di kuil terkenal di sini dipecat pihak pengurusan kuil berkenaan kerana membenarkan seorang penganut agama tersebut membawa anjing melepasi kawasan premis kuil.
Sami di Kuil Nattukotai Chettiar yang mencapai usia 160 tahun berlokasi di Jalan Air Terjun itu dipecat oleh pemegang amanah kuil selepas video mengenai insiden terbabit menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.
Rakaman video tersebut memaparkan seorang wanita sedang melakukan upacara "pooja" dan kelihatan seekor anjing bersamanya, manakala sami tersebut turut dilihat sedang bersembahyang bersebelahan dengan wanita itu.
Pemegang amanah kuil, Dr A. Narayanan menegaskan bahawa dia memandang serius perkara berkenaan.
"Ia telah mencemarkan kesucian kuil ini.
"Sami sepatutnya melarang penganut itu untuk bawa anjing. Kami percaya ia pernah berlaku beberapa kali sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari mStar
Timbalan Presiden Hindudharma, Mamandram V. Nanda Kumar pula berkata tindakan membawa anjing ke kuil itu tidak menghormati kesucian kuil antara tertua itu. -Kedahnews.com