Gambar Hiasan |
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sudah membuat persiapan rapi secara menyeluruh bagi menghadapi musim banjir di negeri ini dalam masa terdekat.
Setiausahanya yang juga Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak, Mohtar Samat berkata, banjir dijangka melanda negeri ini pada awal Januari tahun depan, namun tidak seteruk berbanding tahun lalu.
Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) melaporkan hujan akan turun tetapi pada tahap biasa sekali gus tidak akan menyebabkan banjir besar.
"JPBN, JPAM bersama-sama jabatan dan agensi berkuasa lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah bersedia menghadapi musim banjir kali ini.
"Sebanyak 610 pusat pemindahan dikenal pasti bagi menempatkan mangsa banjir di seluruh negeri iaitu 177 pusat di Kuching, Samarahan (51), Sri Aman (38), Betong (14), Sarikei (30), Sibu (48), Mukah (28), Kapit (32), Bintulu (58), Miri (109) dan Limbang (25)," katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sebanyak 25 pangkalan hadapan yang menjadi tempat penyimpanan bekalan makanan dan keperluan lain disediakan di seluruh negeri.
Sumber: Kosmo